Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 19 Januari. - Universiti Teknologi Brunei (UTB) hari ini melancarkan Sambutan Ulang Tahun Ke-40, menandakan empat dekad perkembangan berterusan, transformasi institusi serta sumbangan signifikan universiti berkenaan kepada pembangunan pendidikan tinggi dan kemajuan teknologi Negara Brunei Darussalam (NBD).
Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun UTB Ke-40 telah disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pro-Canselor UTB, yang berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB).
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar, diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr. Dayang Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Pelancaran Rasmi Sambutan Ulang Tahun UTB Ke-40.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah seterusnya berkenan mengurniakan sabda perasmian dan seterusnya merasmikan Sambutan Ulang Tahun UTB Ke-40.
Majlis diserikan lagi dengan tayangan video khas sambutan yang memaparkan refleksi daripada mantan Naib Canselor, dan Naib Canselor semasa serta menteri-menteri mengenai pencapaian, mercu tanda dan pembangunan UTB sejak penubuhannya.
Ini diikuti dengan penyampaian Anugerah Khas Ulang Tahun UTB Ke-40, sebagai penghargaan kepada individu-individu yang telah memberikan sumbangan dan khidmat bakti yang signifikan kepada pembangunan dan legasi UTB, iaitu Anugerah Jasawan seramai 22 penerima, Anugerah Kerja Lama seramai 13 orang, dan Anugerah Extraordinary Staff seramai tujuh orang.
Sementara itu, Anugerah Pemenang Reka Bentuk Logo Sambutan Ulang Tahun UTB Ke-40 telah diberikan kepada Dayang Izzati binti Haji Sahrin.
UTB ditubuhkan bukan sekadar sebagai sebuah institusi pengajian tinggi, tetapi lahir sebagai respons nasional terhadap keperluan sistem pendidikan yang selaras dengan keutamaan pasca-kemerdekaan NBD, dengan matlamat melangkaui kerangka pendidikan era kolonial ke arah pembangunan negara yang mampan dan berdikari.
Ditubuhkan pada 1986, UTB telah berkembang daripada sebuah institusi teknikal kepada sebuah universiti teknologi terkemuka yang lengkap, serta memainkan peranan penting dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi dan bersedia industri, di samping menyokong aspirasi negara ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan dan dipacu inovasi.
Sepanjang empat dekad penubuhannya, kekal teguh dalam misinya untuk mengintegrasikan pendidikan, penyelidikan, inovasi dan kerjasama industri, selaras dengan keutamaan pembangunan negara.
Bersempena sambutan berkenaan, Wakaf Mushaf UTB turut dilancarkan secara rasmi, mencerminkan pendekatan holistik universiti dalam pendidikan yang menyeimbangkan kecemerlangan akademik dengan nilai kerohanian dan tanggungjawab sosial.
Majlis berkenaan turut menampilkan Pameran 4 Dekad yang mengisahkan perjalanan transformasi serta sumbangan UTB sepanjang 40 tahun penubuhannya. Pameran berkenaan menonjolkan pencapaian utama, perkembangan institusi serta peranan UTB dalam landskap teknikal dan teknologi NBD.
Selain itu, pelancaran buku kenang-kenangan bertajuk 'The First 40 Years : Enlivening Legacy, Empowering Innovation' yang merakam perjalanan UTB, kepimpinan serta sumbangannya kepada pembangunan negara melalui pendidikan, penyelidikan dan inovasi.
Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Duli Yang Teramat Mulia berkenan menerima Pesambah serta berkenan bagi sesi bergambar.
Pelancaran Sambutan Ulang Tahun UTB Ke-40 UTB berkenaan menandakan permulaan kepada rangkaian program sambutan dan akademik sepanjang tahun, selaras dengan usaha berterusan universiti untuk memperkukuh peranannya sebagai institusi teknologi nasional yang komited terhadap kecemerlangan dalam pendidikan tinggi, penyelidikan dan inovasi.

